Siapa je yang tak suka dengan cerita hantu, kan? Bagi yang suka mendengar dan membaca cerita seram, ini dia 5 kisah seram lagenda di Malaysia yang Kak BB akan kongsikan hingga membuatkan ramai yang tidak boleh tidur malam!
Artikel Kak BB hari ini akan menceritakan tentang beberapa kisah misteri dan lagenda seram di Malaysia yang begitu popular sekitar era 90an gitu, Jadi, jom teruskan membaca kisah seram di bawah!
1. DJ Radio & Pemanggil Misteri
Kisah lagenda seram di Malaysia ini bermula apabila seorang DJ radio Malaysia menerima sebuah panggilan telefon daripada seorang lelaki untuk berkongsi tentang kisah hantu menerusi rancangan lewat malam pada tahun 1990-an.
Lelaki itu menceritakan bahawa dia sedang memandu di sebuah lebuhraya pada lewat malam bersama kedua ibu bapa, isteri dan bayinya. Kesemua penumpang sedang tidur ketika itu membuatkan dia juga berasa mengantuk.
Secara tiba-tiba, kelihatan sebuah lori datang dari arah berlawanan melepasinya dengan laju. Kejadian tersebut berulang-ulang kali berlaku sehingga akhirnya dia menyedari lori tersebut mula muncul di belakang seperti mengejarnya.
Mengetahuinya, dia terus memecut laju naik ke atas bukit sehingga hilang kawalan dan terbabas ke dalam jurang akibat cuba mengelak sebuah kereta dari arah bertentangan yang membunuh kesemua ahli keluarganya. Kisah ini pada mulanya dianggap sebagai prank oleh DJ.
Namun keesokan harinya, akhbar memaparkan sebuah kisah sebiji seperti yang diceritakan semalam dan telah menjadi sebuah kisah lagenda seram di Malaysia pada hari ini. DJ tersebut terkejut membaca berita itu dan terus mencari pita rakaman kisah lelaki misteri itu tetapi apa yang didengarinya hanyalah bunyi sunyi sepi.
2. Misteri Volkswagen Kuning
Lagenda seram Volkswagen kuning di Karak ini mungkin antara kisah yang paling terkenal di Malaysia. Seperti diketahui, lebuhraya Karak merupakan jalan yang paling ‘keras’ kerana merekodkan kadar kemalangan yang tertinggi di Malaysia.
Paling menyeramkan tentang kisah ini adalah, jika pengguna jalan raya di lebuhraya Karak ternampak kereta ini, ia akan menghalang laluan dengan kelajuan yang perlahan dan memaksa pemandu lain untuk memotongnya. Sebaik sahaja memotong, perkara yang sama berlaku berulang-ulang kali.
Selepas beberapa kali, baru pemandu akan sedar bahawa ia adalah kereta yang sama. Yang paling menyeramkan ialah, tiada pemandu yang memandu kereta Volkswagen kuning itu! Biar betik?!
Antara cara untuk menghentikan perkara yang sama itu daripada berulang adalah dengan tidak memotong kereta tersebut. Sesetengah mengatakan apabila pemandu memotong kereta berkenaan, ia akan memecut dan hilang dalam kegelapan.
3. Hantu Janet Sarawak
Kisah ini berkisarkan tentang seorang jururawat Cina muda bernama Janet yang bekerja di Hospital Umum Sarawak. Kisah lagenda seram ini mengatakan bahawa dia hilang diculik dan dikaitkan dengan pembinaan jambatan Satok sekitar tahun 1960-an di Malaysia.
Pembinaan jambatan yang tertangguh membuatkan roh di sekitarnya tidak tenang, dan pengorbanan manusia iaitu anak dara perlu dilakukan. Kepala mereka akan dipenggal dan ditanam di tiang konkrit untuk mengukuhkan jambatan.
Ini terbukti apabila pihak polis menemui badan Janet tanpa kepala. Ibu bapa Janet yang sedih telah mengebumikan anak mereka dengan pakaian dan kasut berwarna merah. Mengikut kepercayaan Cina, jika seseorang wanita mati memakai pakaian serba merah, rohnya akan kembali untuk membalas dendam.
Setelah daripada itu, penampakan sorang wanita misteri yang dipercayai Janet mulai muncul. Ada yang melihat seorang wanita berpakaian merah berjalan kaki dengan payung pada waktu malam. Kemudian ada juga yang terlihat wanita berpakaian merah ini menaiki feri dan sering kali meninggalkan nota-nota neraka Cina.
4. Kisah Lagenda Seram Merman
Pada tahun 2006, gambar Merman atau digambarkan seperti ikan duyung versi lelaki mula tersebar di laman sesawang seluruh Malaysia. Menurut khabar angin, Merman itu ditangkap oleh seorang nelayan di pantai Teluk Bahang, Penang.
Jika dilihat dengan mata kasar, Merman mempunyai saiz badan hampir sebesar lelaki dewasa. Juga terdapat 2 sirip panjang seperti telinga besar di kepalanya. Kemudian, ia ada mempunyai 2 lengan dan badan dilitupi dengan sirip dari kepala sehingga kaki.
Ada beberapa ‘penyiasat internet’ mendakwa gambar diambil daripada jualan eBay di Florida. Tetapi lain pula pandangan ahli teori konspirasi yang mempercayai bahawa ia hanyalah cubaan untuk menutup kisah lagenda seram di Malaysia ini.
5. Proton Wira | Kisah Lagenda Seram di Malaysia
Pada suatu malam, sepasang suami isteri memandu pulang ke kampung halaman untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan. Perjalanan agak lancar pada mulanya tetapi bertukar cemas apabila Proton Wira yang dinaiki mereka telah hilang kawalan dan tiba-tiba mati di tengah jalan.
Mereka terkandas di tepi jalan di tengah-tengah malam. Di sekeliling mereka hanyalah hutan dan bukit yang sunyi sepi. Si suami cuba hidupkan enjin kereta tetapi tidak berjaya. Mereka juga cuba menghubungi bantuan tetapi hasilnya tetap sama.
Si suami kemudian keluar daripada kereta untuk mencari telefon kecemasan namun tidak disetujui oleh si isteri kerana bimbang akan dilanggar kereta ketika berjalan dalam gelap. Si suami tetap keluar dan meminta si isteri untuk kekal berada di dalam kereta.
Setelah lama menunggu, si isteri terdengar bunyi dentuman yang kuat diikuti bunyi yang aneh. Si isteri berprasangka bahawa ia hanyalah haiwan liar dan memutuskan untuk tidak keluar memeriksanya.
Kemudian lalu sebuah kereta bersebelahannya dengan perlahan, namun terus memecut laju secara tiba-tiba. Beberapa kereta melakukan hal yang sama dan dia mulai risau tentang bunyi pelik di atas kereta dan tertanya-tanya keberadaan suaminya.
Akhirnya, sebuah kereta polis menghampiri dan berhenti beberapa meter di belakang dan menggunakan pembesar suara meminta si isteri untuk keluar tinggalkan kereta perlahan-lahan. Si isteri lakukan seperti yang diarahkan.
Ketika sudah sampai ke kereta polis, dia ternampak tubuh suaminya di atas kereta. Yang paling menyeramkan, ada entiti jahat yang telah memakan tubuh suaminya ketika dia berada di dalam kereta sambil menunggu. Anggota polis terus membawa si isteri pergi dengan segera dan cerita ini mulai tersebar ke seluruh Malaysia.
Fuh! Baru baca sahaja dah rasa seram sampai meremang bulu roma. Cuba bayangkan jika kisah-kisah lagenda seram Malaysia di atas berlaku pada diri pembaca. Agak-agak, boleh tidur malam atau tak? Haha…
Btw, kesemua 5 kisah ini juga ada diceritakan dengan lebih mendalam di dalam video Kisah Seram Legenda Di Malaysia Yang Popular Era 90an. Kepada yang berani tu, Kak BB memang suggest sangat korang tonton video tersebut. Selamat menonton!
Setakat ini dahulu perkongsian Kak BB tentang “Kisah Lagenda Seram di Malaysia”. Untuk lebih banyak artikel menarik, anda boleh layari portal biarbetik.com.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.