Semua orang yang pernah menziarahi Mekah, pasti pernah melihat menara Jam Mekah yang tertinggi di dunia. Tapi pernah ke korang tertanya-tanya, apakah rahsia puncak menara jam Mekah ini? Adakah bulan sabit di puncak menara jam tertinggi di dunia ini hanyalah perhiasan semata-mata? Ataupun adakah hilal tersebut hanyalah struktur bulan sabit yang kosong?
Jadi untuk artikel kali ini, Kak BB mahu kongsikan serba sedikit tentang rahsia bulan sabit di dalam puncak menara jam Mekah ini. Idea perkongsian kali ini Kak BB dapatkan di Tiktok @radinfikri, di sini. Mari teruskan membaca untuk menjawab semua persoalan yang korang ada tentang rahsia puncak menara jam Mekah ini!
Bulan Sabit di Puncak Menara Jam Tertinggi di Dunia
Menara Jam Mekah, simbol tinggi terhadap iman dan kejuruteraan moden ini menjadi tempat kepada rahsia misteri yang hanya diketahui oleh segelintir individu. Rahsia tersebut juga dapat diperhatikan melalui bulan sabitnya yang terbesar di dunia.
Bulan sabit yang dikenali sebagai “Dokkae Tower Crescent,” ini berdiri megah di puncak Menara Abraj al-Bait, melemparkan pemandangan yang memukau di langit Arab Saudi.
Tentang Bulan Sabit Terbesar di Dunia
Kak BB nak korang bayangkan bagaimana sebuah bulan sabit yang dibina daripada gabungan karbon dan gentian kaca, meluncur tinggi di atas bandar suci Mekah. Dengan diameter sebesar 23 meter yang mengagumkan inilah yang membantu ia merebut gelaran bulan sabit terbesar yang pernah dibina di dunia!
Apa yang unik sangat tentang bulan sabit ini? Berbeza dengan struktur biasa yang dipenuhi dengan keluli, keajaiban kejuruteraan ini mempunyai reka bentuk yang mampu menampung dirinya sendiri, melepaskan beban yang tidak perlu dan mencabar kejuruteraan konvensional.
Rahsia di Dalam Bulan Sabit
Tetapi, apakah rahsia puncak menara jam Mekah yang sebenarnya tersembunyi dalam bulan sabit gergasi ini? Untuk pengetahuan anda, di dalam lengkung dan alurannya, terdapat ruang kediaman sepenuhnya yang merangkumi empat tingkat.
Keempat-empat tingkat ini mempunyai ruang yang disucikan untuk tujuan solat dan saat-saat berehat. Dua tingkat tambahannya pula menempatkan pejabat, dapur dan bilik mandi, menyatukan tempat kediaman yang harmoni antara rohani dan praktikal. Menarik kan?
Rahsia Sinaran Bulan Sabit Gergasi
Bulan sabit ini juga mempunyai pertunjukan cahaya pada waktu malam tau! Dengan dua juta lampu LED yang menghiasi permukaannya, ia dapat menerangi langit dan melemparkan sinaran cahanya ke seluruh bandar.
Korang juga boleh tengok pancaran cahaya ini dari jarak yang menakjubkan, iaitu sejauh 17 kilometer! Ia sekali gus menjadi bukti kebijaksanaan manusia dan usaha yang berterusan dalam hal-hal kejuruteraan, pembangunan dan teknologi.
Surau Tertinggi Di Dunia | Rahsia Puncak Menara Jam Mekah
Bukan itu sahaja rahsia puncak menara jam Mekah ini, sebenarnya terdapat juga alam rohani yang menarik dari titik tertingginya.
Sebuah bilik yang tidak kelihatan seperti yang lain, turut terletak di puncak Menara Jam Mekah ini dengan fungsi sebagai tempat beribadah. Surau tertinggi di dunia ini didedikasikan sepenuhnya untuk orang beragama islam beribadah atau bersembahyang.
Mengapakah Terdapat Surau di Puncak Menara Jam Mekah?
Sewaktu pembinaan menara ini, jurutera dan pekerja pembinaan menghadapi cabaran semasa mereka bekerja, iaitu turun dari ketinggian tersebut untuk sembahyang pada waktunya. Jadi, penyelesaian yang paling bijak adalah untuk mereka sembahyang di dalam bilik bulan sabit ini. Idea ini begitu mendalam sehingga ia menjadi ciri kekal untuk bulan sabit tersebut.
Bagaimanakah Cara Memasuki Bulan Sabit Ini?
Sekarang, korang mungkin bertanya-tanya bagaimanakah cara untuk mencapai bilik dalam bulan sabit ini kan? Tetapi malangnya, bilik ini tidak boleh diakses oleh orang awam ya! Hanya pegawai yang bekerja di dalam menara jam sahaja yang dibenarkan masuk.
Walau bagaimanapun, kalau korang nak tengok pemandangan dari puncak Menara Jam Mekah ini, korang boleh beli tiketnya di muzium Menara Jam Mekah, yang menawarkan pemandangan menakjubkan dari puncak menara.
Rahsia Puncak Menara Jam Mekah yang Tidak Ternilai
Walaupun kos pembinaan “Dokkae Tower Crescent” adalah sebanyak $1 bilion, namun nilai sebenarnya mampu melangkaui nombor semata-mata.
Bulan sabit ikonik ini telah mewakili lebih daripada sekadar pencapaian arkitekturnya, kerana ia mencerminkan kesetiaan sebuah negara dan komitmen terhadap iman yang tiada batasan. Ia juga berdiri sebagai lambang dedikasi Arab Saudi buat perjalanan rohani jutaan jemaah yang berduyun-duyun ke Mekah saban tahun.
Sebagai bangunan tertinggi ketiga di dunia, Menara Jam Mekah yang disingkap dengan bulan sabit terbesar di dunia ini telah dikategorikan sebagai sebuah keajaiban moden yang akan terus memberi inspirasi dan kekaguman untuk generasi akan datang.
Kalau korang nak tengok video rahsia puncak menara jam Mekah ini secara terus, Kak BB turut sertakan video Tiktoknya di sini. Selamat menonton!
Ada usahawan yang menjual produk kelengkapan haji dan umrah? Jika ya, anda boleh iklankan di laman portal BiarBetik.com tau! Sebarang info lanjut, anda boleh emel kami di lunaworks.co@gmail.com.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.