Setiap tahun sebelum raya, ibu bapa atau mereka yang sudah berkerja akan mula ke bank untuk menukar duit bernilai besar ke nilai rendah. Ini kerana pemberian duit raya adalah amalan tradisi yang akan dilakukan pada pagi 1 Syawal semasa bersalam-salaman nanti. Persoalannya, wajib atau tidak duit raya?
Untuk artikel kali ini, Kak BB akan ulas tentang hukum memberi duit raya pada Hari Raya, jangan kemana-kemana dan baca artikel dibawah!
Hukum Memberi Duit Raya | Wajib Atau Tidak Duit Raya
Pada zahirnya, amalan memberikan duit raya adalah satu bentuk sedekah yang diamalkan oleh masyarakat Islam kita. Ini kerana pada 1 Syawal, berkongsi kegembiraam sesama umat Islam adalah sangat digalakkan. Siapa sahaja yang tidak gembira apabila diberikan duit raya? Lagi-lagi kanak-kanak riang yang akan menunggu kedatangan 1 Syawal ini.
Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. :
Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.
Riwayat Al-Bukhari
Berdasarkan beberapa hadis seperti di atas, para Mufti berpendapat bahawa pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya. Untuk membaca lebih lanjut tentang hukum dan isu pemberian duit raya, boleh sahaja klik link ini untuk membaca penerangan yang lebih mendalam di laman web Mufti Wilay Persekutuan.
Hukum Meminta Duit Raya
Jadi, apa pula hukum meminta duit raya? Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W dibawah:
”Siapa meminta minta untuk menambahkan hartanya, sungguh dia telah meminta bara api“
Riwayat Muslim
Demikian itu, para ulama bersependapat bahawa meminta-minta duit raya adalah berdosa. Ini kerana hanya beberapa keadaan sahaja yang diberikan untuk meminta sesuatu contohnya seperti dalam keadaan darurat dan sebagainya. Maka kita haruslah beringat bahawa amalan meminta-minta duit raya ini walaupun dalam keadaan berjenaka, boleh jatuh hukum berdosa di sisi Allah.
Duit Raya Boleh Jadi Riba?
Tular di aplikasi X atau nama lainnya Twitter, tentang servis menukar duit ke nilai kecil dengan bayaran tambahan sebanyak RM10. Adakah amalan bayaran tambahan itu boleh diamalkan dalam Islam? Jawapannya adalah TIDAK.
Dari petikan Harian Metro baru-baru ini, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa al-Hafiz berkata, pertukaran duit raya boleh terjebak dengan riba jika kriteria syarak tidak dipenuhi.
“Riba mencalarkan kejernihan duit raya apabila berlakunya pertukaran wang dalam tempoh yang berlainan, wang yang tidak senilai, caj pertukaran dan akad pertukaran yang tidak mengikut syariat. Ketika itu urusan wang ‘duit raya’ menjadi urusan yang haram”
Jadi, berhati-hatilah dalam melakukan penukaran wang dalam niat untuk memberi sedekah pada hari raya supaya amalan sedekah kita diterima oleh Allah S.W.T.
Isu duit raya ini haruslah dititikberatkan bagi memastikan tiada unsur-unsur haram yang boleh menjurus kepada haram dan jatuh hukum dosa tanpa sedar. Semoga Syawal kita lebih diberkati pada tahun ini.
Setakat ini sahaja perkongsian Kak BB tentang “Wajib Atau Tidak Duit Raya”. Jumpa lagi di lain postingan dan jangan lupa membaca lebih banyak artikel menarik di Biar Betik.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.