Anda nak fahami akronim dengan mudah? Kak BB pasti, kebanyakan daripada anda pasti tidak menyedari bahawa terdapat maksud disebalik akronim-akronim seperti PDF, USB, GPS, WiFi, URL dan banyak lagi. Betul kan?

Kalau anda nak tahu, ia bukanlah sebuah perkataan asal yang dibuat-buat tau! Sebaliknya, ia merupakan bentuk singkatan baharu yang terhasil daripada satu proses bernama pengakroniman. Jadi, mari kita fahami maksud akronim ini, untuk membantu anda mengingat dengan lebih mudah!

Mendalami Definisi Akronim

Fahami Akronim Dengan Mudah
Sumber: Canva

Akronim ialah kata tunggal yang terhasil daripada penggabungan bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan. Bahagian-bahagian tersebut boleh terdiri daripada huruf, suku kata, atau bahagian daripada perkataan.

Ia sudah semestinya merujuk kepada Tatabahasa Dewan yang membahagikan kata akronim kepada empat jenis, berdasarkan cara pencantuman bahagian-bahagian perkataan terbabit.

1. Cantuman huruf awal perkataan-perkataan

Akronim ini terbentuk apabila huruf pertama setiap perkataan terbabit dicantumkan. Kebanyakan perkataan terdiri daripada nama-nama khas. Contohnya seperti berikut:

  • PDF (Portable Document Format)
  • USB (Universal Serial Bus)
  • GPS (Global Positional System)
  • URL (Uniform Resource Locator)
  • SIM (Subscriber Identity Module)
  • HTTP (Hyper Text Transfer)
  • WWW (World Wide Web)
  • ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia)
  • IPTAR (Institut Penyiaran Tun Abdul Razak)

2. Cantuman huruf dan suku kata sesedap sebutan | Fahami Akronim Dengan Mudah

Fahami Akronim Dengan Mudah
Sumber: Quora

Akronim ini terhasil apabila huruf dan suku kata sejumlah perkataan dicantumkan, berdasarkan sebutan yang sedap didengari.

Oleh yang demikian, ia tiada pertimbangan terhadap urutan tertentu. Malah, pengambilan suku kata juga sering tidak lengkap tau! Misalnya:

  • WiFi (Wireless Fidelity)
  • Mara (Majlis Amanah Rakyat)
  • Intan (Institut Tadbiran Awam Negara)
  • Awas (Angkatan Wanita Sedar)

3. Cantuman suku kata awal perkataan-perkataan | Fahami Akronim Dengan Mudah

Kata akronim terbentuk apabila suku-suku kata pertama beberapa perkataannya dicantumkan. Kebanyakannya terdiri daripada kata nama am, tetapi terdapat juga kata nama khas.

Walaupun begitu, terdapat juga suku kata yang diambil itu tidak lengkap atau tidak sepenuhnya. Contohnya seperti:

  • Cerpen (Cerita Pendek)
  • Tadika (Taman Didikan Kanak-Kanak)
  • Gapena (Gabungan Penulis Nasional)

4. Cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan bahagian lain

Kata akronim ini terbentuk melalui huruf atau suku kata perkataan pertama, dengan bahagian bukan awal perkataan-perkataan lain. Antara contohnya ialah:

  • Asbut (asap kabut)
  • Hakis (habis kikis)
  • Maging (makan daging)

Kelebihan Mencipta Singkatan Akronim

Fahami Akronim Dengan Mudah
Sumber: Canva

Selain itu, cara lain yang paling mudah dan ramai orang gunakan untuk proses menghafal adalah dengan mencipta akronim.

Sebagai contoh, bagaimana cara untuk mengingati satu senarai barangan runcit yang perlu dibeli iaitu bawang, agar-agar, cuka, dan asam jawa? Cara mudah untuk mengingatinya adalah cipta akronim dengan mengambil huruf pertama bagi setiap perkataan dan ia akan membentuk perkataan baru iaitu ‘BACA’. Pecahan lanjut seperti berikut:

  • B – Bawang
  • A – Agar-agar
  • C – Cuka
  • A – Asam jawa

Penggunaan akronim ini juga boleh diaplikasikan untuk tujuan pembelajaran ya! Akronim yang menarik dan berkaitan dengan keadaan semasa adalah lebih baik kerana ia lebih mudah untuk diingati. Jadi, begitulah sedikit sebanyak cara mudah dalam memahami istilah daripada proses singkatan perkataan yang dicantumkan menurut Tatabahasa Dewan.

Kak BB harap perkongsian pada kali ini dapat membantu sedikit sebanyak tentang pemahaman anda tentang penggunaan akronim. Selamat mencuba!

Setakat ini sahaja perkongsian Kak BB tentang “Fahami Akronim Dengan Mudah”. Jumpa lagi di lain postingan dan jangan lupa membaca lebih banyak artikel menarik di Biar Betik.


Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *